ARKIB : 29/02/2000
PERSATUAN Bola Sepak Melayu
Terengganu (PBSMT) akan memberi ganjaran setimpal kepada pemain-pemain
berikutan kejayaan Terengganu menjadi juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini.
Setiausaha PBSMT, Aziz Yunus
berkata, ganjaran itu wajar diberikan kepada pemain-pemain, setelah 13 tahun
Terengganu menunggu untuk meraih kejuaraan itu.
Persatuan juga akan memohon
kepada kerajaan negeri supaya ia dapat memberikan ganjaran tambahan kepada para
pemain yang telah mengharumkan nama negeri melalui kejohanan itu, katanya.
Aziz berkata, Menteri Besar
Terengganu, Abdul Hadi Awang semasa majlis meraikan kejayaan Terengganu
memasuki perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja pernah membayangkan perkara itu.
Terengganu muncul juara Piala
Emas Raja-Raja tahun ini setelah mengalahkan Selangor 3-0 di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lepas.
Juara kejohanan itu menerima
hadiah wang tunai RM40,000 manakala naib juara RM20,000.
Aziz berkata, PBSMT akan
mengagih-agihkan wang hadiah itu kepada pemain-pemain yang bekerja keras untuk
meningkatkan martabat bola sepak negeri dalam kejohanan itu.
Beliau berkata, pasukan
Terengganu sekarang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Pulau Pinang
dalam pertandingan Piala Agong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 8
Mac ini.
Aziz berharap, Terengganu akan
berjaya dalam pertandingan itu dan sebuah lagi piala (Piala Agong) akan
berhijrah ke negeri ini tahun ini.
Kedua-dua pasukan itu bertemu
berdasarkan Terengganu juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini, manakala Pulau
Pinang pula juara bertahan Piala Agong. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SzIRBGQZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan