ARKIB : 27/01/2000
PERLIS mempertaruhkan lima
bekas pemain Liga Malaysia musim lalu untuk beraksi dalam pertandingan Piala
Emas Raja-Raja di Stadium Utama Kangar yang bermula esok (Jumaat), lapor ZAID
MOHD. NOOR.
Pengurus pasukan Perlis, Abdul
Jamil Saad berkata, pemain-pemain muda itu mendapat kepercayaan jurulatih,
Mohd. Salim Tofel Mohamad memandangkan mereka berpotensi untuk diketengahkan
serta menunjukkan semangat yang tinggi pada sesi-sesi latihan sebelum ini.
Katanya, beliau percaya
pemain-pemain tempatan yang kebanyakannya merupakan bekas pemain Liga Simpanan
Perlis itu beraksi dengan baik untuk membukti mereka juga mampu memberi saingan
pada pertandingan itu nanti.
Menurutnya, lima bekas pemain
Liga Malaysia bagi pasukan Perlis musim lalu iaitu penjaga gol, Virak Run,
Mohamad Shukrin Md. Saad, Zulkifli Taharim, Sobri Johar dan Ku Hasnol Farid Ku
Abdul Rahman diharapkan menjadi inspirasi kepada pemain lain.
''Pemain-pemain muda itu
dipilih untuk memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan dan pengalaman
dalam usaha meningkatkan mutu persembahan masing-masing.
''Mereka juga merupakan pemain
pelapis yang diharapkan dapat diserap untuk beraksi dengan pasukan Liga Perdana
atau peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan,'' katanya kepada Sukan
Utusan di Kangar semalam.
Pada pertandingan peringkat
kumpulan itu, Perlis diletakkan bersama-sama dengan pasukan Kedah, Pulau Pinang
dan Melaka.
Mohd. Jamil berkata, anak-anak
buah Mohd. Salim tidak mahu melepas peluang beraksi dengan cemerlang di
gelanggang sendiri bagi memastikan Perlis dapat melangkah ke peringkat
seterusnya dalam pertandingan merebut Piala Emas Raja-Raja itu.
Menurutnya, pemain-pemain muda
Perlis menyatakan kesediaan untuk berjuang habis-habis untuk menentukan
kejayaan pada setiap perlawanan itu nanti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4StariQEs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan