Label

Khamis, 4 Mei 2017

Piala Emas Raja-Raja 2004 -- Kelantan, Pahang tentukan juara

ARKIB : 07/12/2004
KELANTAN dan Pahang akan membuat perhitungan bagi menentukan kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 19 Disember ini selepas masing-masing layak ke perlawanan akhir, semalam.
Juara sembilan kali, Kelantan layak ke akhir buat kali ke-17 menerusi kemenangan agregat 3-2 biar pun tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan.
Pahang pula layak menerusi agregat 4-1 untuk mengetepikan cabaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darulmakmur.
Pada perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan yang turun selepas tewas 0-2 pada separuh akhir pertama terpaksa akur dengan jaringan lewat Hishamuddin Hassan yang menafikan peluang mereka untuk layak ke akhir buat kali kedua.
Jaringan Hishamuddin ketika perlawanan hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan cukup untuk menghampakan Negeri Sembilan yang sebelum itu berjaya menyamakan kedudukan dari segi agregat.
K. Rajan membuka tirai jaringan buat Negeri Sembilan pada minit ke-8 sebelum Effendi Malek menjaringkan gol kedua 10 minit selepas itu.
Kelantan yang tersentak dengan dua gol awal itu bagaimanapun lega apabila Hishamuddin muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan yang diperlukan.
Sementara itu, Pahang berdepan laluan berbeza apabila mudah mencipta kemenangan selesa 2-1 ke atas ATM.
Selepas menang 2-0 di separuh akhir pertama, Pahang terus garang ketika beraksi di tempat sendiri apabila membuka jaringan menerusi Mohd. Zulkifli Yusof seawal minit kedua.
ATM bagaimanapun bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Zaiasrol Alias tujuh minit selepas itu.
Malangnya kebangkitan yang cuba dilakukan ATM dimusnahkan Iskandar Zulkarnain yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan