Label

Selasa, 12 Disember 2017

Jurad Chamrong perkuat Perlis

ARKIB : 31/10/2008
JITRA - Skuad bola sepak Piala Emas Raja-Raja Perlis yakin gandingan pemain berpengalaman yang merupakan bekas tonggak handalan pasukan Singa Utara dengan muka baru bakal memantapkan aksi pasukan berkenaan dalam menghadapi Kedah pada perlawanan Kumpulan Zon Utara, di Stadium Mini Jitra, di sini, hari ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Jurulatihnya, Kamal Idris Ali memberitahu, bekas tonggak skuad Singa Utara yang terdiri daripada Andrien Jurad Chamrong, Somchat Narong dan Roslee Md. Derus menjadi taruhan Perlis untuk memimpin pemain-pemain baru menghadapi cabaran Kedah.

''Kami (Perlis) yakin barisan yang turun esok (hari ini) dapat memberikan aksi memberangsangkan dan kita cuba untuk membawa pulang mata penuh sebelum menghadapi saingan seterusnya," kata beliau yang turut dibantu bekas pemain pertahanan Perlis, Suhairi Karim, di sini, semalam.

Kamal menjelaskan, selain tonggak berpengalaman itu, majoriti skuadnya terdiri daripada pemain-pemain muda di bawah umur 25 tahun.

''Walaupun baru, pemain-pemain begitu bersemangat dan yang penting mereka cukup berbakat dan perlawanan dengan Kedah bakal menjadi ujian kemampuan mereka sebenarnya," tambah beliau.

Saingan Piala Emas RajaRaja 2008 menyaksikan 16 pasukan mengambil bahagian dan terbahagi kepada empat kumpulan iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Peringkat awal pertandingan bermula hari ini sehingga 3 November depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz512G66Juj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan