ARKIB : 01/02/2000
TERENGGANU sedang menjalani
latihan lebih keras untuk meningkatkan prestasinya bagi menghadapi Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dalam pertandingan suku akhir pusingan pertama bola sepak Piala
Emas Raja-Raja di gelanggang lawan Jumaat ini.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak
Melayu Terengganu (PBSMT), Aziz Yunus berkata Terengganu perlu benar-benar
bersiap sedia bagi memastikan impiannya untuk melayakkan diri ke pertandingan
akhir musim ini tercapai.
Beliau berkata, persembahan
Terengganu dalam peringkat kumpulan kurang memberangsangkan dan pemain-pemain
banyak melakukan kesilapan yang tidak sewajarnya walaupun muncul sebagai naib
juara kumpulan satu.
''Kita harap prestasi pasukan
akan meningkat dengan menjalani latihan keras sebelum menghadapi PDRM,''
katanya.
Dalam peringkat kumpulan yang
berakhir Kuala Terengganu semalam, Terengganu mengalahkan Pahang 4-0 selepas
kalah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 0-1 manakala ATM pula keluar
sebagai johan setelah mengalahkan Terengganu 1-0 dan seri 1-1 dengan Pahang.
Aziz berkata dua pemain Liga
Perdana Terengganu Rosadi Wahab dan Zulharisham Awang akan turun memperkukuhkan
pasukan dalam pertandingan suku akhir itu.
Beliau berkata, kebanyakan muka
baru mewakili pasukan Piala Emas Raja-Raja Terengganu tahun ini.
Terengganu akan menjadi tuan
rumah kepada PDRM dalam pertandingan pusingan kedua suku akhir pada 8 Februari.
Pada tahun lepas, Terengganu
terkandas di peringkat separuh akhir setelah tumpas kepada Melaka dengan
tendangan penalti 4-5. - Bernama.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4Su0KS4l8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan