Label

Khamis, 14 Disember 2017

Kelantan azam genggam Piala Emas

ARKIB : 12/12/2008
KOTA BHARU - Kelantan yakin telah memperoleh semangat baru untuk bangkit menyambung tradisi kecemerlangannya dan merampas kembali kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 20 Disember ini, lapor AZRAN FITRI RAHIM.

Skuad Cik Siti Wan Kembang itu pastinya mendapat sokongan padu peminat tempatan yang menaruh harapan tinggi agar dapat menundukkan Pulau Pinang apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Afandi Hamzah berkata, anak buah bimbingan Anizam Daud akan turun membawa misi merampas kembali piala tersebut.

"Kita mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri dan Kelantan layak ke perlawanan akhir dalam kejohanan ini sejak 2004 namun kita tidak memandang rendah terhadap kebolehan lawan.

"Beberapa pemain Liga Super seperti, Badri Radzi dan Nizad Ayub akan diturunkan bagi menguatkan lagi pasukan kita" katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sejak tahun 2004 Kelantan tidak pernah tercicir daripada menyertai perlawanan akhir pertandingan tersebut malah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2006.

Pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja tahun lepas Kelantan tewas kepada Johor.

Afandi berharap para penyokong akan hadir pada perlawanan akhir tersebut bagi memberi sokongan kepada skuad Kelantan bagi memulakan cabaran saingan Liga Super.

"Saya amat berharap penyokong akan hadir memberi sokongan kepada pasukan mereka dan sebagai hadiah tiket untuk perlawanan akhir tidak dinaikkan iaitu RM10 untuk tempat duduk berbumbung dan RM5 untuk tempat duduk biasa.

"Kejayaan menjurai Piala Emas Raja- raja 2008 akan menjadi pemangkin kepada sambutan hangat penyokong Kelantan menjelang saingan Liga Super yang akan bermula Januari tahun depan," ujarnya.

Kelantan layak ke perlawanan akhir selepas menundukkan Perlis dengan agregat 3-2 manakala Pulau Pinang menewaskan PDRM dengan agregat 5-4 menerusi sepakan penalti.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51E6P9QB7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan