Label

Khamis, 15 Disember 2016

Terengganu tidak pandang rendah PDRM -- Piala Emas Raja-Raja

ARKIB : 06/02/2000
TERENGGANU tidak memandang rendah keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi tentangan terhadap pasukan terbabit bagi memastikan pasukan pantai timur itu layak ke pertandingan separuh akhir Piala Emas Raja-raja musim ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Terengganu (PBSMT) Aziz Yunus berkata, kedudukan Terengganu untuk melangkah ke pertandingan separuh akhir masih belum terjamin walaupun pasukan itu menang 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di tempat lawan kelmarin.

''Kita tidak memandang rendah keupayaan pasukan PDRM malah akan lebih berhati-hati dalam pertemuan pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Selasa ini,'' katanya.

Beliau berkata, Terengganu sedar bahawa pasukan PDRM sekarang seolah-olah seekor harimau cedera yang sudah pasti akan mengganas dengan lebih hebat lagi dalam pusingan kedua nanti.

''Sekiranya pemain-pemain Terengganu tidak berhati-hati dan cekal kemungkinan mereka akan kecundang dan terlepas peluang untuk memasuki pertandingan akhir,'' katanya.

Sambil menyifatkan perlawanan itu sebagai 'penentu' nasib kedua-dua pasukan Aziz berkata rentak permainan Terengganu mungkin terjejas apabila berhadapan penyokong sendiri.

Beliau berkata Terengganu akan mempertingkatkan lagi keupayaan pemain-pemain di barisan serangan yang kurang mantap dan menyengat pada perlawanan lepas.

Aziz berkata pemain-pemain perlu mengawal perasaan dan tidak gopoh dalam permainan mereka jika ingin melihat pasukan Terengganu berjaya melangkah ke pertandingan akhir tahun ini.

Tahun lepas Terengganu gagal ke pertandingan akhir apabila tumpas di tangan Melaka di peringkat separuh akhir menerusi tendangan penalti 5-4. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SuIVNpqp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan