Label

Khamis, 15 Disember 2016

Kedah kalahkan Melaka 3-2

ARKIB : 29/01/2000
KEDAH mengalahkan Melaka 3-2 dalam perlawanan kumpulan A Piala Emas Raja-Raja di Stadium Utama Kangar petang semalam.

Kedah yang membariskan enam pemain Liga Perdana Musim lalu memperoleh gol pertama pada minit ke-9 oleh Mohd. Farouk Ismail apabila membuat sepakan kemas tendangan sudut.

Walaupun Melaka membariskan muka-muka baru tetapi berjaya mengatur perlawanan dengan bijak dan berjaya memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

Melaka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Sri Jaafar A. Rahman pada minit ke-25 yang membuat tandukan ketika berlaku pergelutan di hadapan gol lawan.

Abd. Karim Rahman pula menambahkan jaringan gol pasukan Melaka seminit kemudian apabila mendapat peluang setelah bola terlepas dari kawalan penjaga gol Kedah, S. Ragesh.

Pasukan Kedah yang ketinggalan bangkit semula dan berjaya memperoleh gol kedua minit ke-45 oleh bekas pemain kebangsaan, Che Zambil Ahmad.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling serang menyerang untuk mencari gol kemenangan.

Gerakan solo pemain muda Kedah, Adrien Jurad Chamrong tengah padang setelah menewaskan beberapa pertahanan Melaka telah berjaya menjaringkan gol kemenangan minit ke-66.

Di Kuala Lumpur, Singapura menundukkan pasukan tuan rumah 2-1 pada perlawanan kumpulan B di Stadium Raja Muda.

Pasukan pelawat yang dibarisi gandingan pemain baru dan lama menguasai hampir keseluruhan permainan yang gagal memperlihatkan aksi-aksi menarik.

Begitupun, Singapura terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk memperoleh gol pertama apabila penyerang, Razali Rashid menyepak masuk bola hasil sepakan sudut.

Jaringan pertama itu terus menyemarakkan serangan Singapura yang mencipta beberapa peluang lagi tetapi kelemahan jentera serangannya menyelamatkan tuan rumah daripada terus ditembusi.

Walaupun Kuala Lumpur sekali-sekala membuat serangan balas namun percubaan barisan serangannya gagal menemui sasaran untuk separuh masa pertama kekal dengan keputusan 1-0.

Penguasaan pasukan dari selatan itu berterusan apabila berjaya mengukuhkan kedudukan hanya lima minit selepas babak kedua dimulakan menerusi gerakan dari kiri yang disempurnakan oleh Azman Mohamad.

Kuala Lumpur yang semakin terdesak mula memperkemaskan gerakan dan hasilnya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-52 menerusi Sanuja Mokhtar yang menyambar peluang terhidang di depan pintu gol lawan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4SthBCAN8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan