Label

Khamis, 22 Disember 2016

Pahang muncul juara selepas belasah PDRM

SELASA, 13 DISEMBER 2016 @ 11:09 PM 
Oleh Asrol Awang bhsukan@bh.com.my 
PENYERANG Pahang, Fauzi Roslan (kanan) dihalang pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Hariz Irfan pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darul Makmur malam ini. - Foto BERNAMA KUANTAN: Skuad Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja 2016 selepas membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 6-2 pada aksi final piala itu di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

 Kemenangan itu mengulangi kejayaan skuad berkenaan muncul juara pada musim 2011 selepas kali terakhir beraksi di pentas final pada 2014 yang ketika itu tewas kepada Perlis 1-2. Pada perlawanan itu, tuan rumah bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus dalam usaha memburu gol awal sebaik perlawanan bermula.

Ternyata usaha gigih itu berhasil apabila kapten pasukan, Mohd Fauzi Rozlan yang bakal menyarung jersi Melaka United (MU) musim depan menjaringkan empat gol sekali gus menewaskan penjaga gol PDRM, Wan Ahmad Wan Sharifuddin pada minit ke-16, 18, 68 dan 69.

Tambahan dua gol Pahang, masing-masing satu gol dijaringkan Muhammad Shahrul Nizam dan Baqiuddin Samsudin pada minit ke-55 dan 78. Dua gol PDRM dijaringkan pemain tengah, Muhammad Afzal Nazri pada minit ke-43 dan 90 yang berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Nur Kamarullah.

Pada aksi final itu, dua gol pantas Fauzi atau Kojie pada separuh masa pertama ternyata memberi kesan terhadap persembahan PDRM yang dibimbing Eddy Gapil walaupun berjaya mengurangkan defisit gol 2-1 hasil jaringan dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Namun, sentuhan berbisa Fauzi yang menjaringkan gol ketiga dan keempat peribadinya pada minit ke-68 dan 69 ternyata merencatkan percaturan PDRM. Pada masa masa, Muhammad Shahrul Nizam dan Baqiuddin turut muncul penjaring skuad Pahang sekali gus mengesahkan Pahang muncul juara musim ini. Bagi PDRM pula, misi balas dendam tewas 0-2 kepada Pahang pada peringkat kumpulan tidak kesampaian dan terpaksa berpuas hati selaku naib juara musim ini.
 
PENYERANG Pahang, Mohd Fauzi Roslan meraikan jaringannya di perlawanan akhir Piala Emas Raja- Raja menentang PDRM di Stadium Darul Makmur. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIRPenyerang Pahang, Mohd Fauzi Roslan meraikan jaringannya di perlawanan akhir Piala Emas Raja- Raja menentang PDRM di Stadium Darul Makmur. - Foto Luqman Hakim Zubir


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223527

Jumaat, 16 Disember 2016

Ganjaran untuk pemain Penyu

ARKIB : 29/02/2000
PERSATUAN Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) akan memberi ganjaran setimpal kepada pemain-pemain berikutan kejayaan Terengganu menjadi juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini.

Setiausaha PBSMT, Aziz Yunus berkata, ganjaran itu wajar diberikan kepada pemain-pemain, setelah 13 tahun Terengganu menunggu untuk meraih kejuaraan itu.

Persatuan juga akan memohon kepada kerajaan negeri supaya ia dapat memberikan ganjaran tambahan kepada para pemain yang telah mengharumkan nama negeri melalui kejohanan itu, katanya.

Aziz berkata, Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang semasa majlis meraikan kejayaan Terengganu memasuki perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja pernah membayangkan perkara itu.

Terengganu muncul juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini setelah mengalahkan Selangor 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lepas.

Juara kejohanan itu menerima hadiah wang tunai RM40,000 manakala naib juara RM20,000.

Aziz berkata, PBSMT akan mengagih-agihkan wang hadiah itu kepada pemain-pemain yang bekerja keras untuk meningkatkan martabat bola sepak negeri dalam kejohanan itu.

Beliau berkata, pasukan Terengganu sekarang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Agong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 8 Mac ini.

Aziz berharap, Terengganu akan berjaya dalam pertandingan itu dan sebuah lagi piala (Piala Agong) akan berhijrah ke negeri ini tahun ini.

Kedua-dua pasukan itu bertemu berdasarkan Terengganu juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini, manakala Pulau Pinang pula juara bertahan Piala Agong. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SzIRBGQZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 15 Disember 2016

Terengganu tidak pandang rendah PDRM -- Piala Emas Raja-Raja

ARKIB : 06/02/2000
TERENGGANU tidak memandang rendah keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi tentangan terhadap pasukan terbabit bagi memastikan pasukan pantai timur itu layak ke pertandingan separuh akhir Piala Emas Raja-raja musim ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Terengganu (PBSMT) Aziz Yunus berkata, kedudukan Terengganu untuk melangkah ke pertandingan separuh akhir masih belum terjamin walaupun pasukan itu menang 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di tempat lawan kelmarin.

''Kita tidak memandang rendah keupayaan pasukan PDRM malah akan lebih berhati-hati dalam pertemuan pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Selasa ini,'' katanya.

Beliau berkata, Terengganu sedar bahawa pasukan PDRM sekarang seolah-olah seekor harimau cedera yang sudah pasti akan mengganas dengan lebih hebat lagi dalam pusingan kedua nanti.

''Sekiranya pemain-pemain Terengganu tidak berhati-hati dan cekal kemungkinan mereka akan kecundang dan terlepas peluang untuk memasuki pertandingan akhir,'' katanya.

Sambil menyifatkan perlawanan itu sebagai 'penentu' nasib kedua-dua pasukan Aziz berkata rentak permainan Terengganu mungkin terjejas apabila berhadapan penyokong sendiri.

Beliau berkata Terengganu akan mempertingkatkan lagi keupayaan pemain-pemain di barisan serangan yang kurang mantap dan menyengat pada perlawanan lepas.

Aziz berkata pemain-pemain perlu mengawal perasaan dan tidak gopoh dalam permainan mereka jika ingin melihat pasukan Terengganu berjaya melangkah ke pertandingan akhir tahun ini.

Tahun lepas Terengganu gagal ke pertandingan akhir apabila tumpas di tangan Melaka di peringkat separuh akhir menerusi tendangan penalti 5-4. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SuIVNpqp © Utusan Melayu (M) Bhd

Piala Emas: Kedah mara

ARKIB : 02/02/2000
KEJAYAAN Kedah melangkah ke peringkat suku akhir Piala Emas Raja-Raja merupakan amaran awal skuad Hijau Kuning terhadap pasukan lain dalam menghadapi saingan Liga Perdana bermula Mac ini.

Kemenangan demi kemenangan yang dicipta oleh Kedah dalam persaingan piala itu merupakan kebangkitan semula skuad itu selepas mendapat sentuhan pengurusan baru yang dikatakan lebih mantap.

Petanda awal itu tidak dapat dinafikan apabila sebahagian besar pemain yang beraksi dalam kejohanan itu merupakan pemain yang bakal beraksi bersama skuad Kenari dalam Liga Perdana.

Jelas para pemain menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha memulihkan kembali reputasi Kedah yang tercemar sejak kebelakangan ini.

Pengurus pasukan, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil tidak dapat menyembunyikan rasa puas hatinya terhadap persembahan para pemain Kedah.

Dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja pusingan awal yang berakhir di Stadium Utama, Kangar, kelmarin, menyaksikan rekod bersih Kedah dengan menewaskan Melaka 3-2, Perlis 3-0 dan Pulau Pinang 2-0 dalam kumpulan D.

Dengan kemenangan itu, Kedah yang mendapat bimbingan jurulatih, Mohd. Sharif Nawab mengungguli kumpulan itu untuk mara ke suku akhir.

Menurut Ahmad Basri, beberapa pemain utama Liga Perdana sengaja diserap bertujuan mengenal pasti beberapa kelemahan mereka sebagai persiapan menghadapi Liga Perdana.

''Pemain seperti Che Zambil Ahmad telah menunjukkan permainan yang menarik selepas dia pulih,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Su1eHq00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu tingkatkan prestasi hadapi PDRM

ARKIB : 01/02/2000
TERENGGANU sedang menjalani latihan lebih keras untuk meningkatkan prestasinya bagi menghadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pertandingan suku akhir pusingan pertama bola sepak Piala Emas Raja-Raja di gelanggang lawan Jumaat ini.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT), Aziz Yunus berkata Terengganu perlu benar-benar bersiap sedia bagi memastikan impiannya untuk melayakkan diri ke pertandingan akhir musim ini tercapai.

Beliau berkata, persembahan Terengganu dalam peringkat kumpulan kurang memberangsangkan dan pemain-pemain banyak melakukan kesilapan yang tidak sewajarnya walaupun muncul sebagai naib juara kumpulan satu.

''Kita harap prestasi pasukan akan meningkat dengan menjalani latihan keras sebelum menghadapi PDRM,'' katanya.

Dalam peringkat kumpulan yang berakhir Kuala Terengganu semalam, Terengganu mengalahkan Pahang 4-0 selepas kalah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 0-1 manakala ATM pula keluar sebagai johan setelah mengalahkan Terengganu 1-0 dan seri 1-1 dengan Pahang.

Aziz berkata dua pemain Liga Perdana Terengganu Rosadi Wahab dan Zulharisham Awang akan turun memperkukuhkan pasukan dalam pertandingan suku akhir itu.

Beliau berkata, kebanyakan muka baru mewakili pasukan Piala Emas Raja-Raja Terengganu tahun ini.

Terengganu akan menjadi tuan rumah kepada PDRM dalam pertandingan pusingan kedua suku akhir pada 8 Februari.

Pada tahun lepas, Terengganu terkandas di peringkat separuh akhir setelah tumpas kepada Melaka dengan tendangan penalti 4-5. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4Su0KS4l8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah layak ke suku akhir

ARKIB : 30/01/2000
KEDAH merupakan pasukan pertama dalam kumpulan D yang layak ke perlawanan suku akhir Piala Emas Raja-Raja apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Utama Kangar petang semalam.

Bekas penyerang kebangsaan, Che Zambil Ahmad beraksi cemerlang dalam perlawanan itu apabila menyumbangkan kedua- dua gol bagi pasukan Kedah.

Gol pertama diperoleh pada minit ke-40 apabila Che Zambil yang tidak dikawal membuat tandukan mudah hasil hantaran kemas Mohd. Farouk Ismail.

Sementara itu, gol kedua pula disumbangkan pada minit 55 setelah bekas pemain Liga Perdana Kedah itu berjaya menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Jerry Akokiasamy.

Kemenangan Kedah itu merupakan kali kedua setelah menewaskan Melaka 3-2 petang kelmarin.

Pulau Pinang yang turut mencari kemenangan itu setelah menewaskan Perlis 2-0 dalam perlawanan pertama kelmarin gagal memperoleh gol walaupun dua penyerang dua beradik Hasrinizam Hashim dan Hasmizal mendapat beberapa peluang keemasan di hadapan gol lawan.

Pada minit-minit terakhir Pulau Pinang banyak membuat serangan melalui pemain berpengalaman R. Suresh Kumar tetapi masih gagal mendapatkan gol.

Perlawanan yang sengit itu turut menyaksi beberapa aksi kasar pemain kedua-dua pasukan dan pergaduhan tercetus di kalangan pemain pada minit ke-45.

Pengadil Mohd Rosli Ibrahim terpaksa melayang kad merah kepada pemain Kedah, Adrien Jurad Chamrong dan pemain Pulau Pinang, Chew Chun Yong.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4StsxlIa4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah kalahkan Melaka 3-2

ARKIB : 29/01/2000
KEDAH mengalahkan Melaka 3-2 dalam perlawanan kumpulan A Piala Emas Raja-Raja di Stadium Utama Kangar petang semalam.

Kedah yang membariskan enam pemain Liga Perdana Musim lalu memperoleh gol pertama pada minit ke-9 oleh Mohd. Farouk Ismail apabila membuat sepakan kemas tendangan sudut.

Walaupun Melaka membariskan muka-muka baru tetapi berjaya mengatur perlawanan dengan bijak dan berjaya memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

Melaka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Sri Jaafar A. Rahman pada minit ke-25 yang membuat tandukan ketika berlaku pergelutan di hadapan gol lawan.

Abd. Karim Rahman pula menambahkan jaringan gol pasukan Melaka seminit kemudian apabila mendapat peluang setelah bola terlepas dari kawalan penjaga gol Kedah, S. Ragesh.

Pasukan Kedah yang ketinggalan bangkit semula dan berjaya memperoleh gol kedua minit ke-45 oleh bekas pemain kebangsaan, Che Zambil Ahmad.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling serang menyerang untuk mencari gol kemenangan.

Gerakan solo pemain muda Kedah, Adrien Jurad Chamrong tengah padang setelah menewaskan beberapa pertahanan Melaka telah berjaya menjaringkan gol kemenangan minit ke-66.

Di Kuala Lumpur, Singapura menundukkan pasukan tuan rumah 2-1 pada perlawanan kumpulan B di Stadium Raja Muda.

Pasukan pelawat yang dibarisi gandingan pemain baru dan lama menguasai hampir keseluruhan permainan yang gagal memperlihatkan aksi-aksi menarik.

Begitupun, Singapura terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk memperoleh gol pertama apabila penyerang, Razali Rashid menyepak masuk bola hasil sepakan sudut.

Jaringan pertama itu terus menyemarakkan serangan Singapura yang mencipta beberapa peluang lagi tetapi kelemahan jentera serangannya menyelamatkan tuan rumah daripada terus ditembusi.

Walaupun Kuala Lumpur sekali-sekala membuat serangan balas namun percubaan barisan serangannya gagal menemui sasaran untuk separuh masa pertama kekal dengan keputusan 1-0.

Penguasaan pasukan dari selatan itu berterusan apabila berjaya mengukuhkan kedudukan hanya lima minit selepas babak kedua dimulakan menerusi gerakan dari kiri yang disempurnakan oleh Azman Mohamad.

Kuala Lumpur yang semakin terdesak mula memperkemaskan gerakan dan hasilnya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-52 menerusi Sanuja Mokhtar yang menyambar peluang terhidang di depan pintu gol lawan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4SthBCAN8 © Utusan Melayu (M) Bhd

KL janji saingan mantap

ARKIB : 27/01/2000
KUALA Lumpur menjanjikan cabaran mantap apabila membuka tirai cabaran menentang negara jiran, Singapura pada Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja di Stadium Raja Muda, Kuala Lumpur, petang esok.

Dibarisi beberapa bintang Liga Perdana yang diketuai oleh Ahmad Fairus Yunus, skuad ibu kota pastinya mempunyai sebab untuk memberi cabaran terbaik selain kelebihan selaku tuan rumah.

Skuad Kuala Lumpur juga sudah teruji menerusi pertemuan persahabatan sebelum ini apabila menewaskan Tentera dengan 2-0 dan 2-1, selain seri 1-1.

Mereka juga mencatat dua lagi keputusan seri ketika menentang pasukan India Kuala Lumpur (1-1) dan Kelab Sultan Sulaiman yang dihiasi bekas bintang kebangsaan.

Kuala lumpur kini memiliki 25 pemain yang disifatkan mampu membantu pasukan itu untuk sekurang-kurangnya menempah tempat ke suku akhir.

Skuad ibu kota akan berdepan dua lagi pasukan selain Singapura dalam persaingan kumpulan B iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4StdgDoqT © Utusan Melayu (M) Bhd

Bekas pemain Liga M wakili Perlis

ARKIB : 27/01/2000
PERLIS mempertaruhkan lima bekas pemain Liga Malaysia musim lalu untuk beraksi dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja di Stadium Utama Kangar yang bermula esok (Jumaat), lapor ZAID MOHD. NOOR.

Pengurus pasukan Perlis, Abdul Jamil Saad berkata, pemain-pemain muda itu mendapat kepercayaan jurulatih, Mohd. Salim Tofel Mohamad memandangkan mereka berpotensi untuk diketengahkan serta menunjukkan semangat yang tinggi pada sesi-sesi latihan sebelum ini.

Katanya, beliau percaya pemain-pemain tempatan yang kebanyakannya merupakan bekas pemain Liga Simpanan Perlis itu beraksi dengan baik untuk membukti mereka juga mampu memberi saingan pada pertandingan itu nanti.

Menurutnya, lima bekas pemain Liga Malaysia bagi pasukan Perlis musim lalu iaitu penjaga gol, Virak Run, Mohamad Shukrin Md. Saad, Zulkifli Taharim, Sobri Johar dan Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman diharapkan menjadi inspirasi kepada pemain lain.

''Pemain-pemain muda itu dipilih untuk memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan dan pengalaman dalam usaha meningkatkan mutu persembahan masing-masing.

''Mereka juga merupakan pemain pelapis yang diharapkan dapat diserap untuk beraksi dengan pasukan Liga Perdana atau peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kangar semalam.

Pada pertandingan peringkat kumpulan itu, Perlis diletakkan bersama-sama dengan pasukan Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

Mohd. Jamil berkata, anak-anak buah Mohd. Salim tidak mahu melepas peluang beraksi dengan cemerlang di gelanggang sendiri bagi memastikan Perlis dapat melangkah ke peringkat seterusnya dalam pertandingan merebut Piala Emas Raja-Raja itu.

Menurutnya, pemain-pemain muda Perlis menyatakan kesediaan untuk berjuang habis-habis untuk menentukan kejayaan pada setiap perlawanan itu nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4StariQEs © Utusan Melayu (M) Bhd