Label

Sabtu, 6 Mei 2017

Pemain Kelantan dapat habuan

ARKIB : 06/01/2005
SKUAD Kijang akan mendapat imbuhan berganda apabila kerajaan negeri Kelantan semalam menjanjikan ganjaran wang berikutan kejayaan mereka menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2004.
Sebelum ini pasukan terbabit dijanjikan habuan lawatan bagi melihat perkembangan bola sepak di Iran yang akan dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, beliau tidak dapat mendedahkan jumlah ganjaran tersebut kerana ia hanya akan diumumkan pada majlis khas anjuran kerajaan negeri.
``Pada majlis yang dijangka diadakan selewat-lewatnya 15 Januari ini, kita juga akan mengumumkan ganjaran kepada pegawai-pegawai pasukan bola sepak terbabit,'' katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.
Kelantan menjuarai Piala Emas Raja-Raja dua tahun berturut-turut selepas menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan akhir baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Fatah berkata, pada majlis tersebut pihaknya juga akan memberi imbuhan kepada 12 pemain sepak takraw Kelantan yang mengulangi kejayaan menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan baru-baru ini.
Kelmarin, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menyerahkan hadiah wang kemenangan yang diraih pada Kejohanan GP itu sebanyak RM7,000 beserta insentif lain yang keseluruhannya berjumlah RM10,500 kepada pemain.
Gastak membuat keputusan untuk mengagihkan semua wang kemenangan itu kepada pemain yang telah berusaha mengharumkan nama negeri dan sebagai menyuntik semangat mereka agar lebih gigih berusaha bagi mengekalkan kejuaraan yang sama tahun ini.
Persatuan itu akan mencari beberapa pemain pelapis bagi mengisi tempat empat pemainnya yang akan mewakili negara.
Pemain berkenaan ialah Mohamed Normanizam Ahmad, Rukman Mustapha, Sulaiman Salleh dan Saufi Salleh.

Khamis, 4 Mei 2017

Piala Emas Raja-Raja 2004 -- Kelantan, Pahang tentukan juara

ARKIB : 07/12/2004
KELANTAN dan Pahang akan membuat perhitungan bagi menentukan kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 19 Disember ini selepas masing-masing layak ke perlawanan akhir, semalam.
Juara sembilan kali, Kelantan layak ke akhir buat kali ke-17 menerusi kemenangan agregat 3-2 biar pun tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan.
Pahang pula layak menerusi agregat 4-1 untuk mengetepikan cabaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darulmakmur.
Pada perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan yang turun selepas tewas 0-2 pada separuh akhir pertama terpaksa akur dengan jaringan lewat Hishamuddin Hassan yang menafikan peluang mereka untuk layak ke akhir buat kali kedua.
Jaringan Hishamuddin ketika perlawanan hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan cukup untuk menghampakan Negeri Sembilan yang sebelum itu berjaya menyamakan kedudukan dari segi agregat.
K. Rajan membuka tirai jaringan buat Negeri Sembilan pada minit ke-8 sebelum Effendi Malek menjaringkan gol kedua 10 minit selepas itu.
Kelantan yang tersentak dengan dua gol awal itu bagaimanapun lega apabila Hishamuddin muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan yang diperlukan.
Sementara itu, Pahang berdepan laluan berbeza apabila mudah mencipta kemenangan selesa 2-1 ke atas ATM.
Selepas menang 2-0 di separuh akhir pertama, Pahang terus garang ketika beraksi di tempat sendiri apabila membuka jaringan menerusi Mohd. Zulkifli Yusof seawal minit kedua.
ATM bagaimanapun bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Zaiasrol Alias tujuh minit selepas itu.
Malangnya kebangkitan yang cuba dilakukan ATM dimusnahkan Iskandar Zulkarnain yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.