Label

Khamis, 14 Disember 2017

Kelantan azam genggam Piala Emas

ARKIB : 12/12/2008
KOTA BHARU - Kelantan yakin telah memperoleh semangat baru untuk bangkit menyambung tradisi kecemerlangannya dan merampas kembali kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 20 Disember ini, lapor AZRAN FITRI RAHIM.

Skuad Cik Siti Wan Kembang itu pastinya mendapat sokongan padu peminat tempatan yang menaruh harapan tinggi agar dapat menundukkan Pulau Pinang apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Afandi Hamzah berkata, anak buah bimbingan Anizam Daud akan turun membawa misi merampas kembali piala tersebut.

"Kita mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri dan Kelantan layak ke perlawanan akhir dalam kejohanan ini sejak 2004 namun kita tidak memandang rendah terhadap kebolehan lawan.

"Beberapa pemain Liga Super seperti, Badri Radzi dan Nizad Ayub akan diturunkan bagi menguatkan lagi pasukan kita" katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sejak tahun 2004 Kelantan tidak pernah tercicir daripada menyertai perlawanan akhir pertandingan tersebut malah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2006.

Pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja tahun lepas Kelantan tewas kepada Johor.

Afandi berharap para penyokong akan hadir pada perlawanan akhir tersebut bagi memberi sokongan kepada skuad Kelantan bagi memulakan cabaran saingan Liga Super.

"Saya amat berharap penyokong akan hadir memberi sokongan kepada pasukan mereka dan sebagai hadiah tiket untuk perlawanan akhir tidak dinaikkan iaitu RM10 untuk tempat duduk berbumbung dan RM5 untuk tempat duduk biasa.

"Kejayaan menjurai Piala Emas Raja- raja 2008 akan menjadi pemangkin kepada sambutan hangat penyokong Kelantan menjelang saingan Liga Super yang akan bermula Januari tahun depan," ujarnya.

Kelantan layak ke perlawanan akhir selepas menundukkan Perlis dengan agregat 3-2 manakala Pulau Pinang menewaskan PDRM dengan agregat 5-4 menerusi sepakan penalti.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51E6P9QB7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 Disember 2017

Jurad Chamrong perkuat Perlis

ARKIB : 31/10/2008
JITRA - Skuad bola sepak Piala Emas Raja-Raja Perlis yakin gandingan pemain berpengalaman yang merupakan bekas tonggak handalan pasukan Singa Utara dengan muka baru bakal memantapkan aksi pasukan berkenaan dalam menghadapi Kedah pada perlawanan Kumpulan Zon Utara, di Stadium Mini Jitra, di sini, hari ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Jurulatihnya, Kamal Idris Ali memberitahu, bekas tonggak skuad Singa Utara yang terdiri daripada Andrien Jurad Chamrong, Somchat Narong dan Roslee Md. Derus menjadi taruhan Perlis untuk memimpin pemain-pemain baru menghadapi cabaran Kedah.

''Kami (Perlis) yakin barisan yang turun esok (hari ini) dapat memberikan aksi memberangsangkan dan kita cuba untuk membawa pulang mata penuh sebelum menghadapi saingan seterusnya," kata beliau yang turut dibantu bekas pemain pertahanan Perlis, Suhairi Karim, di sini, semalam.

Kamal menjelaskan, selain tonggak berpengalaman itu, majoriti skuadnya terdiri daripada pemain-pemain muda di bawah umur 25 tahun.

''Walaupun baru, pemain-pemain begitu bersemangat dan yang penting mereka cukup berbakat dan perlawanan dengan Kedah bakal menjadi ujian kemampuan mereka sebenarnya," tambah beliau.

Saingan Piala Emas RajaRaja 2008 menyaksikan 16 pasukan mengambil bahagian dan terbahagi kepada empat kumpulan iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Peringkat awal pertandingan bermula hari ini sehingga 3 November depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz512G66Juj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 6 Mei 2017

Pemain Kelantan dapat habuan

ARKIB : 06/01/2005
SKUAD Kijang akan mendapat imbuhan berganda apabila kerajaan negeri Kelantan semalam menjanjikan ganjaran wang berikutan kejayaan mereka menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2004.
Sebelum ini pasukan terbabit dijanjikan habuan lawatan bagi melihat perkembangan bola sepak di Iran yang akan dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, beliau tidak dapat mendedahkan jumlah ganjaran tersebut kerana ia hanya akan diumumkan pada majlis khas anjuran kerajaan negeri.
``Pada majlis yang dijangka diadakan selewat-lewatnya 15 Januari ini, kita juga akan mengumumkan ganjaran kepada pegawai-pegawai pasukan bola sepak terbabit,'' katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.
Kelantan menjuarai Piala Emas Raja-Raja dua tahun berturut-turut selepas menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan akhir baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Fatah berkata, pada majlis tersebut pihaknya juga akan memberi imbuhan kepada 12 pemain sepak takraw Kelantan yang mengulangi kejayaan menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan baru-baru ini.
Kelmarin, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menyerahkan hadiah wang kemenangan yang diraih pada Kejohanan GP itu sebanyak RM7,000 beserta insentif lain yang keseluruhannya berjumlah RM10,500 kepada pemain.
Gastak membuat keputusan untuk mengagihkan semua wang kemenangan itu kepada pemain yang telah berusaha mengharumkan nama negeri dan sebagai menyuntik semangat mereka agar lebih gigih berusaha bagi mengekalkan kejuaraan yang sama tahun ini.
Persatuan itu akan mencari beberapa pemain pelapis bagi mengisi tempat empat pemainnya yang akan mewakili negara.
Pemain berkenaan ialah Mohamed Normanizam Ahmad, Rukman Mustapha, Sulaiman Salleh dan Saufi Salleh.

Khamis, 4 Mei 2017

Piala Emas Raja-Raja 2004 -- Kelantan, Pahang tentukan juara

ARKIB : 07/12/2004
KELANTAN dan Pahang akan membuat perhitungan bagi menentukan kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada 19 Disember ini selepas masing-masing layak ke perlawanan akhir, semalam.
Juara sembilan kali, Kelantan layak ke akhir buat kali ke-17 menerusi kemenangan agregat 3-2 biar pun tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan.
Pahang pula layak menerusi agregat 4-1 untuk mengetepikan cabaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menang 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darulmakmur.
Pada perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan yang turun selepas tewas 0-2 pada separuh akhir pertama terpaksa akur dengan jaringan lewat Hishamuddin Hassan yang menafikan peluang mereka untuk layak ke akhir buat kali kedua.
Jaringan Hishamuddin ketika perlawanan hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan cukup untuk menghampakan Negeri Sembilan yang sebelum itu berjaya menyamakan kedudukan dari segi agregat.
K. Rajan membuka tirai jaringan buat Negeri Sembilan pada minit ke-8 sebelum Effendi Malek menjaringkan gol kedua 10 minit selepas itu.
Kelantan yang tersentak dengan dua gol awal itu bagaimanapun lega apabila Hishamuddin muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan yang diperlukan.
Sementara itu, Pahang berdepan laluan berbeza apabila mudah mencipta kemenangan selesa 2-1 ke atas ATM.
Selepas menang 2-0 di separuh akhir pertama, Pahang terus garang ketika beraksi di tempat sendiri apabila membuka jaringan menerusi Mohd. Zulkifli Yusof seawal minit kedua.
ATM bagaimanapun bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Zaiasrol Alias tujuh minit selepas itu.
Malangnya kebangkitan yang cuba dilakukan ATM dimusnahkan Iskandar Zulkarnain yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.

Sabtu, 29 April 2017

Johor buat persiapan awal

ARKIB : 19/10/2004
JOHOR tampak semakin yakin untuk mengharungi saingan suku akhir pertama Piala Emas Raja-Raja bertemu Negeri Sembilan pada 21 November ini.
Bulan puasa jelas tidak menghalang skuad Johor yang dibimbing oleh Idris Selamat untuk terus menjalani latihan sebagai persiapan rapi menghadapi saingan suku akhir.
Idris berkata, pemain akan menjalani latihan pada sebelah petang dalam tempoh satu jam setengah.
``Latihan ini melibatkan di padang dan gimnasium untuk memantapkan lagi tahap kecergasan pemain,'' ujarnya.
Johor layak ke suku akhir selepas menduduki tempat kedua Kumpulan C di belakang Pahang yang mengungguli kumpulan ini.
Idris menambah, latihan yang dikendalikannya lebih tertumpu untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain.
``Berdepan dengan Negeri Sembilan bukanlah laluan mudah dan jika kita tidak membuat persiapan rapi agak sukar untuk pasukan saya menang ke atas lawan,'' ujarnya.
Secara keseluruhannya, Idris yakin dengan keupayaan barisan pemainnya yang dibarisi beberapa pemain dari Liga Malaysia dan Piala Presiden.
Bagi memantapkan lagi skuad Johor, kata Idris beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab tempatan dan pasukan Indian Johor pada 23 Oktober ini.
Selain Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, pasukan lain yang turut layak ke suku akhir ialah Kelantan, ATM, PDRM, Kedah dan Selangor.