Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
sukan@utusan.com.my
Pemain-pemain Perlis meraikan
kejayaan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2009 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada
perlawanan akhir di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi. - Utusan / kamal
Basir
ALOR SETAR - Dendam 13 tahun
Perlis berbalas malam tadi apabila mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kedah untuk
menjuarai perlawanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 dalam saingan akhir
mendebarkan yang turut dicemari rusuhan penonton di Stadium Darulaman, di sini.
Insiden tersebut berlaku pada
lima minit terakhir permainan apabila sebilangan penonton memasuki padang untuk
memaksa pengadil Mohd. Nazer Mohd. Said dari Selangor memberhentikan perlawanan
pada lima minit terakhir saingan.
Ini turut mengundang aksi tegang
di tengah gelanggang yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan Mohd. Nazer
kepada dua pemain Perlis, Romdhizat Jamian dan Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman dan
seorang pemain Kedah, Mohd. Fazliyata Taib.
Bagaimanapun, keadaan kembali
terkawal selepas campur tangan pasukan Polis Simpanan Persekutuan untuk
perlawanan disambung kembali.
Sebelum itu, Perlis yang
ditewaskan Kedah dalam perlawanan akhir pada 1996 itu beraksi cemerlang
walaupun bermain di gelanggang lawan dengan menghasilkan jaringan menerusi Romdhizat
pada minit keempat dan Andrien Jurad Chamrong pada minit ke-18.
Kemenangan anak-anak buah
jurulatih Kamal Idris Ali itu mencatat kejuaraan kali ketiga selepas
melakukannya pada 1967 dan 1993. Pada 1967 Perlis menewaskan Singapura 3-0
manakala pada 1993 pasukan berkenaan mengalahkan Pulau Pinang 1-0.
Sementara Kedah, selain mencatat
kejuaraan 1996, sebelum itu menjuarai pertandingan sama pada 1948 dan 1949,
1952 dan 1953 serta 2005.
Kemenangan semalam menyaksikan
Perlis selain merangkul piala pusingan, membawa pulang hadiah RM30,000 manakala
Kedah memperoleh RM15,000.
Lebih menggembirakan, Andrien
Jurad turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Puncak Piala
Emas Raja-Raja 2009.
Di Stadium Darulaman semalam,
perlawanan boleh diibaratkan sebagai bermulanya era baru bola sepak Melayu
berdasarkan kepadatan 30,000 penonton yang memenuhi segenap penjuru stadium.
Ia turut disaksikan Raja Muda
Kedah, Tuanku Abdul Malik Mu'adzam Shah; Puteri Sultan Kedah, Tunku Datuk Seri
Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul
Razak; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Penasihat
Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan
Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.
Sebaik perlawanan edisi ke-69 itu
bermula, Kedah yang disokong ribuan penonton di gelanggang sendiri memulakan
asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi kegagalan mencari penyudah
menyaksikan skuad hijau kuning kempunan gol awal.
Sebaliknya, serangan balas yang
diatur pantas skuad Perlis menghasilkan jaringan apabila Romdhizat menyepak
kencang mengatasi penjaga gol Kedah, Mohd. Khairul Azuan untuk mendahului 1-0
pada minit keempat.
Ternyata jaringan pendahuluan itu
menyemarakkan semangat Perlis untuk meneruskan asakan sehingga membuatkan
pertahanan hijau kuning yang diperkuatkan pemain skuad Liga Super Kedah, Mohd.
Fazliata semakin cemas.
Akhirnya Perlis menambah jaringan
menerusi sepakan percuma Andrien Jurad dari jarak 25 meter menerjah penjuru
gawang pada minit ke-18 dan kedudukan kekal sehingga berakhir separuh masa
pertama.
Menyedari ketinggalan, Kedah cuba
bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi asakan bertali arus ke kubu Perlis
tetapi ternyata sekali lagi kegopohan melakukan hantaran di kalangan pemain tuan
rumah menyelamatkan pasukan pelawat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YiYTrRiy
© Utusan Melayu (M) Bhd